Minggu, 02 Februari 2014

Sabah Dan Sarawak Tidak Pernah Dipinggirkan



Negeri Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam pengurusan dan pemerintahan negara terutama sekali dalam soal pembangunan demi rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Dalam entri terbaru di laman blog beliau www.1malaysia.com.my sempena sambutan Hari Malaysia esok Najib berkata sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun 2012 sahaja, sejumlah RM62.3 juta dari jumlah ini telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk merekabentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah,” katanya.

Sejumlah RM207 juta pula telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur dan pertanian, kata Najib.

Beliau berkata usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia.

“Kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri ini telah banyak berubah berbanding 50 tahun yang lalu, selaras dengan pembangunan global,” kata beliau di dalam entri itu.

Sementara itu, Najib berkata walaupun dalam usia muda Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang disegani, sama ada dari aspek politik, ekonomi dan pembangunan sosial.

Pengorbanan dan usaha gigih semua pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini akan sentiasa dihargai, katanya.

“Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian dalam negara.

“Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia. Pada tanggal 16 September, negara kita menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50,” kata Najib.

Tentang Hari Malaysia Najib berkata pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah negara yang berdaulat.

“Satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. Hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar