Jumat, 21 Februari 2014

Elak Riak Dalam Ibadah




SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah. 

Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada redha dalam mentaati Allah. 

Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah. 

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.

Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan. Hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya akan pecah juga.

Rasulullah saw menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud: 

“Yang paling aku takuti menimpa Ente ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.” 

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain. 

Baginda saw bersabda yang maksudnya: 

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.” 

Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia. 

Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain. 

Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama. 

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti. 

Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam. 

Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya: 

Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri. 

Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri. 

Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak. 

Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah saw walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali. 

Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid. 

Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru. 

Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas. 

Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.

kredit: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh 


Salam Ukhuwah..~



Tidak ada komentar:

Posting Komentar