Jumat, 28 Februari 2014

Nafi Guru Mati Ditembak Terlibat Gengster

Guru

SUNGAI PETANI – Bapa kepada guru yang mati ditembak di Simpang Empat Keladi, Kulim dekat sini semalam mendakwa anaknya tidak pernah terbabit dalam kegiatan jenayah atau kumpulan haram.
A. Krishnasamy, 73, berkata anak bongsunya dari tujuh beradik itu amat disenangi ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakannya yang lain.
Beliau tidak percaya anaknya yang menjadi guru lebih 20 tahun dan juga ketua cawangan MIC terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.
Shanmugam, 45, dilapor mati ditembak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat di situ tengah hari semalam.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk mengajar di sekolahnya.
“Saya dan anggota keluarga saya amat kesal kerana anak saya dikaitkan dengan kumpulan gengster, sedangkan dia seorang guru yang disenangi dan mempunyai hubungan baik dengan semua orang,” kata Krishnasamy kepada pemberita semasa menuntut mayat anaknya di Hospital Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Abang sulung mangsa, Balasubramaniam, 53, turut kesal dengan tuduhan adiknya terbabit dengan kumpulan haram.
Shanmugam merupakan lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak.
Beliau mengajar pendidikan jasmani dan mata pelajaran Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.
Pihak polis turut mengesahkan Shanmugam tidak mempunyai rekod jenayah. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar