Sabtu, 22 Februari 2014
Kisah Sedih Balu Pegawai Polis Suaminya Dibunuh Di Malam Ulang Tahun Perkahwinan Mereka!
SUBANG JAYA – Rosiah Dahlan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya bagi mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-23.
Namun, dia tidak tahu suaminya tidak akan membaca mesej tersebut apabila beliau telah dibunuh oleh pengganas Sulu.
Rosiah, 52, seorang juruaudit, berkata kali terakhir dia bercakap dengan suaminya Supt Ibrahim Lebar, kira-kira pukul 2.00 petang pada 2 Mac, sambil menambah ia adalah perbualan yang baik dan menggembirakan.
“Saya perlu mendengar suara suami saya setiap hari. Saya menelefonnya pada pukul 2 petang dan kami berbual pendek. Kemudian dia berkata mahu bercakap dengan anak bongsu kami tetapi akan menelefon semula pada pukul 8 malam.
“Kami menunggu panggilannya tetapi menjelang tengah malam yang masuk tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang ke-23, saya tidak boleh menunggu lagi dan hanya menghantar SMS mengucapkan selamat hari ulang tahun. Tetapi tiada jawapan. Itulah saat-saat buruk dan menakutkan saya.
“Kemudian, saya mendapat tahu bahawa beliau tidak lagi hidup pada masa saya menghantar SMS,” katanya ketika ditemui di rumahnya di USJ 9 di sini.
Rosiah berkata dia amat sedih sepanjang hari selepas mendengar berita kematian suaminya di Semporna pada 2 Mac.
Supt Ibrahim, 52, dan lima anggota polis lain terbunuh dalam serangan hendap.
Rosiah menerima kematian suaminya sebagai takdir.
“Anak-anak menjadi kekuatan saya. Mereka tahu berapa banyak saya sayangkan suami saya dan bagaimana rapat dan kukuhnya hubungan kami.
“Saya juga perlu kuat untuk mereka. Sokongan besar diterima daripada keluarga, rakan-rakan, polis dan kerajaan telah membantu kami melalui masa yang sukar ini,” katanya.
Pasangan ini mempunyai tiga orang anak berusia antara 17 dan 22 tahun.
Anak sulung, Amirul Shafiq, 22, sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pemasaran di UiTM, Segamat, manakala Amira Shahira, 20, belajar perubatan di Universiti Kaherah di Mesir.
Anak bongsu, Amira Shadida, dijadualkan menduduki SPM tahun ini.
Rosiah berkata dia dan anak-anaknya bangga Supt Ibrahim dan rakan-rakan lain yang terkorban telah diangkat sebagai Wira Negara.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin dan beberapa pemimpin Puteri Umno peringkat bahagian melawat Rosiah di kediamannya.
Mereka mengucapkan takziah sebelum menyerahkan sumbangan wang tunai untuk pendidikan anak-anak.- The Star
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar