Minggu, 23 Februari 2014
Majlis Peguam bangkang cadangan undang undang baru ganti EO
Oleh Jennifer Gomez, Muzliza Mustafa dan Elizabeth Zachariah
July 05, 2013
July 05, 2013
Majlis Peguam Malaysia membidas cadangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baru bagi menggantikan Akta Ordinan Darurat (EO) kerana bimbang undang-undang itu bakal menjadi replika EO yang sekadar ditukar kepada nama baru.
Pengerusinya, Christopher Leong, membangkang undang-undang baru ala EO dikembalikan terutama jika ia hanya undang-undang lama tetapi `dipakaikan baju baru menggunakan nama lain.
"Majlis Peguam belum melihat dan tidak tahu isi kandungan dan cadangan undang-undang baru itu. Apa yang penting, kami tidak bersetuju jika ia sama seperti EO. Undang-undang itu tidak boleh diterima kerana ia terdedah kepada penyalahgunaan," katanya.
Malah, katanya, kerajaan mengakui bahawa EO membawa mudarat kepada rakyat hingga menyebabkan ia dimansuhkan di Parlimen, tahun lalu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam berhubung keputusan kerajaan menggubal undang-undang baru bagi menggantikan EO dan Akta Kediaman Terhad berikutan peningkatan kadar jenayah dalam negara selepas pemansuhan EO.
Leong berkata, pihak berkuasa belum menunjukkan data dan bukti ketara mengaitkan peningkatan jenayah jalanan dengan pemansuhan EO.
"Masalah jenayah jalanan sepatutnya diselesaikan dengan pelbagai cara dan ini termasuk meningkatkan kapasiti dan kebolehupayaan anggota polis. Ia bukan sekadar melengkapkan mereka dengan kuasa untuk menahan orang tanpa bicara," tegasnya.
Bagaimanapun, katanya, Majlis Peguam mengakui kewujudan asas dan keperluan untuk mempertimbangkan perundangan baru untuk menangani jenayah sindiket.
"Kami terbuka terhadap idea perundangan baru menangani jenayah sindiket tetapi ia tidak sepatutnya EO yang diberikan nama baru. Kita bersedia untuk membincangkan perkara itu dengan Jabatan Peguam Negara," katanya.
Ahli Parlimen Subang (PKR), R Sivarasa, yang turut menentang cadangan itu, berkata negara ini memerlukan sistem kepolisian yang lebih baik, bukan undang-undang baru dan penggantian EO tidak relevan.
"Polis sudah mempunyai banyak kuasa, hanya mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita di Parlimen, semalam.
Beliau berkata, polis tidak sepatutnya menyalahkan peningkatan jenayah akibat pemansuhan EO kerana mereka sudah pun diberikan 18 bulan untuk bersedia menghadapi keadaan itu.
Polis juga, katanya, mempunyai masa yang mencukupi untuk mendakwa tahanan.
"Jika ada bukti yang menunjukkan mereka yang ditahan melakukan jenayah, kenapa polis tidak dakwa saja mereka di mahkamah. Ketika EO dimansuhkan, lebih 2,600 tahanan dilepaskan dan kemudian bekas tahanan ini disalahkan apabila kadar jenayah meningkat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Nalili Elumalai, berkata pihaknya menentang apa juga undang-undang yang membenarkan tahanan tidak jelas dan tanpa bicara dan penggantian EO kepada undang-undang baru hanya helah polis dan Kementerian Dalam Negeri untuk menutup kegagalan mereka.
"Lebih baik polis berusaha lebih keras memperbaiki jabatan siasatan jenayah mereka," katanya. - 5 Julai 2013.TMI
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar